Khamis, 29 Oktober 2009

Lagi ADUN keluar PKR


Seorang lagi wakil rakyat PKR meninggalkan parti itu dan menjadi ADUN bebas - kali ini di Selangor selepas dua di Perak awal tahun ini dan seorang di Kedah pada Ogos.

ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah, sejak beberapa bulan lalu menimbulkan spekulasi bakal menyertai Umno, membuat pengumuman itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi.


MALAYSIA KINI

Selasa, 27 Oktober 2009

Adun pakatan mungkin tidak hadir sidang DUN Perak


IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada pakatan pembangkang mungkin tidak akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu ini, jika polis gagal memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PRBBC), Khalil Idham Lim, berkata keputusan berkenaan bagaimanapun akan ditentukan oleh pimpinan pakatan pembangkang negeri.

"Matlamat kami adalah hadir sidang...kami akan serah kepada pimpinan jika keputusan sebaliknya," katanya pada sidang media di pejabat Pas Perak di sini, hari ini.


Semalam, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain, berkata Adun pakatan pembangkang akan membuat laporan polis meminta jaminan keselamatan daripada polis kerana dikhuatiri ada ancaman terhadap Adun pakatan pembangkang sebelum dan ketika sidang.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah, ketika dihubungi hari ini berkata, polis akan menjaga keselamatan sepanjang sidang berkenaan termasuk Adun Barisan Nasional atau pakatan pembangkang. - Bernama

Ahad, 25 Oktober 2009

Permintaan Nik Aziz dibawa ke peringkat pusat



KOTA BHARU 24 Okt. - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini ekoran kenyataan mengejutkan oleh Mursyidul Am parti itu.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit di kediaman Nik Abdul Aziz, beliau mendapatkan penjelasan mengenai pendirian pemimpin itu dan akan memanjangkan persoalan berbangkit kepada pimpinan Pusat dalam masa terdekat ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butir-butir perbincangan mereka sebaliknya menganggap ia sebagai amanah yang hanya akan diumumkan selepas dibincangkan di peringkat Pusat.

"Saya telah bertemu dengannya dan dengar dari mulut dia sendiri. Beliau telah meminta saya membawa amanah ini untuk disampaikan ke peringkat Pusat.

"Saya tidak boleh dedahkan amanah ini buat masa ini. Saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan akan maklumkan kepada pimpinan tertinggi mungkin esok atau lusa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Politik dalaman Pas bergolak semula dengan tiba-tiba apabila Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melalui blognya mencadangkan agar Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin prokerajaan yang bermasalah dan perlu dibersihkan melalui EGM iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Nik Abdul Aziz yang mengesahkan pendiriannya kepada pihak media semalam berkata, perubahan itu dianggap perlu kerana ia juga sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Salahuddin menolak tanggapan beberapa pihak bahawa wujud masalah dalaman dalam parti itu yang membawa kepada penulisan artikel berkenaan.

"Saya rasa tidak wujud masalah perpecahan dan tidak wujud isu dalaman parti. Saya telah mendengar sendiri apa yang beliau katakan dan tunggulah sehingga keputusan rasmi diumumkan kepada keseluruhan parti," jelasnya.

Ditanya sama ada pendirian Nik Abdul Aziz itu mempunyai asas yang kukuh, Salahuddin sekali lagi enggan mengulas mengenainya dan meminta semua pihak bersabar.

Sabtu, 24 Oktober 2009

intipati Bajet 2010 '1Malaysia

intipati Bajet 2010 '1Malaysia

Pembentangan Bajet 2010 oleh Najib Tun Razak Semalam

Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':

1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.

2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.

3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.

6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.

7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.

8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).

9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.

10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.

11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.

13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.

14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.

15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.

17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.

18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.

19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.

20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.

21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.

22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.

25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.

26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.

27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.

28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah. BERNAMA

Jumaat, 23 Oktober 2009

Caruman KWSP Dinaikkan Semula Kepada 11 %


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Caruman pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dinaikkan semula kepada kadar 11 peratus mulai 1 Jan, 2011 manakala bagi potongan secara sukarela pula berkuat kuasa serta merta, memandangkan keadaan ekonomi dijangka pulih, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman KWSP mereka secara sukarela daripada 11 peratus kepada 8 peratus selama dua tahun mulai 1 Jan, 2009 sebagai sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM7 bilion yang diperkenalkan pada November tahun lepas.

Membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri juga mencadangkan pelepasan cukai individu sebanyak RM6,000 yang sedia ada untuk tujuan caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan kepada RM7,000, untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai skim anuiti.

Kenaikan RM1,000 itu adalah bagi pelepasan ke atas premium anuiti yang mula dibayar pada 1 Jan, 2010 bagi skim persaraan yang ditawarkan oleh syarikat insurans, katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata memandangkan jangka hayat rakyat semakin meningkat, tabungan dalam KWSP mungkin tidak mencukupi selepas persaraan dan dengan itu skim anuiti merupakan satu instrumen kewangan yang sesuai bagi untuk tujuan penampungan pendapatan semasa persaraan.

Kerajaan, katanya sedar betapa pentingnya untuk rakyat menyimpan semasa usia muda bagi memastikan aliran pendapatan yang tetap dan berterusan selepas persaraan.

-- BERNAMA

Khamis, 22 Oktober 2009

MIC berang dengan tindakan meroboh kuil di Shah Alam



KUALA LUMPUR 22 Okt. — Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu telah mengecam kerajaan pakatan pembangkang Selangor kerana membenarkan perobohan sebuah kuil Hindu di Shah Alam hari ini, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai ”perbuatan khianat”.

"Kerajaan negeri Selangor telah melakukan khianat terhadap masyarakat India dengan gagal menghentikan perobohan kuil itu,” katanya ketika mengulas tindakan meroboh Kuil Mathurai Veeran di Persiaran Kerjaya, Jalan Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam.

Samy Vellu berkata, tindakan itu bukan insiden pertama kerana sebelum ini ada kuil dirobohkan di Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Beliau merujuk kepada perobohan Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Tasik, Jalan Baru, Ampang pada 9 Sept. tahun lepas.

Samy Vellu berkata, walaupun jawatankuasa Kuil Mathurai Veeran merayu pada Mac lalu selepas menerima notis dari Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) sebulan sebelum itu, namum kuil itu tetap dirobohkan tanpa menawarkan tanah alternatif. - Bernama

Tian Chua didapati bersalah tuduhan gigit

Ahli parlimen Batu yang juga pengarah strategi PKR, Tian Chua hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya menjalankan tugas.

Tian, 46, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Majistret Mohd Faizi Che Abu akan menjatuhkan hukuman selepas mendengar rayuan dari peguam.

On 18 Mei, Mohd Faizi mengarahkan Tian membela diri selepas majistret itu memutuskan bahawa pihak pendakwa mempunyai kes terhadap ahli parlimen Batu itu.

Tian didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya hukuman penjara melebihi setahun atau jika denda yang dikenakan melebihi RM2,000 maka Tian hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu jika selepas semua rayuannya gagal.

Tian ditahan sewaktu Bersih mengadakan protes membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun. Malaysiakini/-

Selasa, 20 Oktober 2009

Cuti umum 16 Sept sempena "Hari Malaysia"


KOTA KINABALU: Pengumuman cuti umum bagi seluruh negara sempena Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun disambut baik oleh kalangan pemimpin serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Ketika mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia akan dirayakan dengan acaraacara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia, kata Najib.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pengiktirafan tinggi oleh Perdana Menteri yang mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum amat signifikan bagi menggambarkan bahawa gagasan 1Malaysia telah lama dihayati dan menjadi amalan rakyat Sabah selama ini.

"Sesungguhnya, 16 Sept merupakan peristiwa yang amat bersejarah bagi rakyat negeri ini. Ini kerana, pada tarikh keramat tersebut, rakyat Sabah daripada pelbagai kaum dan etnik bersatu dan sepakat mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata pengumuman itu pasti akan mencetuskan semangat dan iltizam kerajaan negeri dan rakyat Sabah untuk terus mengukuhkan perpaduan dan rasa kekitaan sebagai pemangkin bagi memacu kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, sesuai dengan aspirasi gagasan 1Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBs) Datuk Joseph Pairin Kitingan pula berkata pengumuman Najib itu menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri untuk merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia iaitu perpaduan nasional.

"Beliau (Najib) benar-benar ingin mewujudkan satu keluarga Malaysia dengan slogan 1Malaysia, sekali gus mengikis perasaan adanya keadaan 'neokolonialisasi' selama ini," katanya.

Pairin berkata pengumuman Perdana Menteri itu telah menyelesaikan satu perkara yang amat penting iaitu mewujudkan patriotisme dan semangat cinta kasih sayang di kalangan rakyat kepada Malaysia.

"Setelah pengumuman ini dibuat sebagai satu ketetapan, kita dalam PBS dan sebagai anggota dalam Barisan Nasional akan lebih bersemangat lagi berusaha ke arah mencapai Wawasan 2020, dan ke arah pengwujudan satu keluarga yang merasakan bahawa negara Malaysia adalah negara kita bersama," katanya.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew berkata pengisytiharan cuti umum itu merupakan penghargaan yang sangat besar kepada Sabah dan Sarawak.

"Topik ini telah menjadi perbahasan hangat sejak pembentukan Malaysia pada 16 Sept, 1963. Malaysia barat dan timur kini menjadi satu dan ini menggambarkan kesungguhan serta keikhlasan Perdana Menteri dalam menjalin keharmonian hubungan antara kita tanpa melihat perbezaan warna kulit," katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Tan Sri Joseph Kurup berkata parti itu menyambut baik pengisytiharan 16 Sept sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia.

"Langkah ini sesungguhnya memberikan pengiktirafan kepada hakikat bahawa 16 Sept merupakan hari pembentukan Malaysia dengan turut disertai oleh Sabah dan Sarawak. Ini sememangnya dinanti-nantikan oleh Sabah dan Sarawak selama hampir 46 tahun," katanya.

Kurup berkata dengan pengumuman itu, penduduk di Sabah dan Sarawak digesa supaya benar-benar menerapkan perasaan sebagai rakyat Malaysia nan satu, meskipun jauh dipisahkan oleh Laut China Selatan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Seri Dr James Masing berkata telah tiba masanya 16 Sept diiktiraf sebagai cuti umum memandangkan tarikh itu sama pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri memandangkan 16 Sept merupakan hari yang sangat penting bagi penduduk Sarawak dan Sabah serta Semenanjung sejak 46 tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia di sini pada 10 Okt lepas, Najib memberi penekanan bahawa Sarawak dan Sabah berada pada taraf yang sama dengan Malaya apabila ketigatiga wilayah ini memutuskan untuk bersatu dan membentuk negara yang kini dikenali sebagai Malaysia pada 16 Sept 1963.

Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Umum Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata Najib mempunyai kebijaksanaan dalam menyatakan fakta sejarah.

"Ini adalah keputusan yang bijaksana dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi pengiktirafan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini.

Di KUCHING, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Fatimah Abdullah menyambut baik pengumuman itu kerana Hari Malaysia merupakan hari bersejarah kepada pembentukan Malaysia.

Beliau berkata rakyat khasnya generasi baru perlu mengetahui tarikh penting tersebut selain mengingati tarikh kemerdekaan negara yang disambut pada setiap 31 Ogos.

"Ini sejajar dengan semangat 1Malaysia, kerana 16 Sept merupakan tarikh penting kepada pembentukan Malaysia dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri," katanya di sini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Karim Abdul Rahman Hamzah berkata pengumuman tersebut merupakan satu penghormatan kepada Sarawak dan Sabah yang bersama-sama membentuk Malaysia.

Katanya tarikh tersebut cukup signifikan kepada rakyat Malaysia khasnya di Sarawak dan Sabah walaupun Semenanjung Malaysia lebih awal mencapai kemerdekaan.

"Kita di Sarawak dan Sabah memang amat menyokong pemilihan 16 Sept sebagai hari cuti umum dan ia merupakan satu tindakan yang bijak daripada Perdana Menteri," katanya.

Seorang ahli perniagaan Ahmad Dikoh berkata 16 Sept merupakan tarikh keramat kepada rakyat di Sarawak dan pengumuman cuti pada hari tersebut merupakan satu penghargaan besar kepada rakyat di Sarawak selain Sabah.

Katanya bagi generasi lama, tarikh tersebut pastinya menyimpan memori yang paling manis dengan tertubuhnya negara Malaysia pada 16 Sept 1963.

"Saya berharap selepas ini 16 Sept juga diraikan sebagaimana kita meraikan 31 Ogos kerana 16 Sept adalah Hari Malaysia," katanya. BERNAMA

Sabtu, 17 Oktober 2009

Pasti kecoh sidang Dun Perak kali ini


Semalam bernama melaporkan Pakatan Rakyat{PR) di Perak yang sebelum ini berhasrat memulau persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 28 Oktober ini dengan alasan notis oleh Speaker, Datuk R Ganesan, adalah tidak sah, mengubah pendirian dan akan menghadirinya berdasarkan notis yang dikeluarkan bekas Speaker, V Sivakumar.

Jurucakap PR, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa keputusan untuk hadir dibuat setelah mereka menerima notis daripada Sivakumar semalam memaklumkan persidangan itu akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Katanya, pakatan pembangkang masih mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak dan mereka akan mematuhi notis yang dikeluarkannya.

Pada masa sama, katanya, mereka meminta Ganesan menarik balik notis dikeluarkannya kerana mendakwa arahan itu tidak sah.

Saya terkejut dengan keputusan berkenaan. Kerana saya merasakan tindakan tersebut mengundang lebih banyak buruk dari baiknya, apatah lagi persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar adalah pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Ia memberikan satu persepsi awal bahawa Pakatan Rakyat sengaja ingin menimbulkan "huru-hara" setidak-tidaknya itulah tuduhan yang bakal dimainkan oleh media-media arus perdana.

Sepatutnya langkah yang paling wajar ialaha ADUN-ADUN PR terus memboikot persidangan DUN Perak yang dipaggil oleh Speaker yang tidak sah itu, R.Ganesan, dan jika ingin mengadakan persidangan maka Speaker yang sah tidak perlu untuk mengadakan di "tempat" yang sama.

Pertama, ia akan mengulangi kekecohan sidang pada ketika di mana Sivakumar telah diculik dan diangkat keluar dari dewan. Kedua, ia seperti tidak menerima persidangan DUN kedua yang berlansung di Heritage Hotel, Ipoh pada beberapa minggu yang lalu.

Malah, dilaporkan bahawa Datuk Seri Nizar sendiri menyatakan beliau tidak dapat meramalkan apa yang bakal berlaku sewaktu ditanya sama ada akan berlaku perebutan kerusi Speaker pada persidangan itu nanti.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Nik Aziz minta martabatkan bahasa Melayu


KOTA BHARU 15 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengkaji semula penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris di tempat-tempat awam di kawasan mereka.

Beliau berkata, tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu boleh menyebabkan martabatnya direndahkan dan diperlekehkan, sekali gus menjejaskan usaha menyemarak dan memperkasakan bahasa itu.

Pada masa yang sama beliau turut mengakui tidak menyedari kecenderungan meluas terhadap penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di premis-premis perniagaan di negeri ini.

Ini termasuk bagi beberapa bangunan di bandar ini yang menjadi mercu tanda baru seperti Kota Bharu Trade Centre dan tulisan jawi pula sekadar digunakan bagi mengeja perkataan Inggeris itu.

''Memang betul teguran itu (menggunakan bahasa asing), ia mungkin disebabkan pemilik mahu ia menjadi popular dan mengantarabangsakan bangunan mereka supaya dikenali oleh orang luar.

''Saya pun tidak sedar sebab suasana menyebabkan saya sebagai pemimpin turut hanyut dalam bahasa Inggeris, saya rasa amat dukacita, saya minta kaji semula nama-nama ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat Wilayah Timur 2009 di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Mohamad Yussop Ishak.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, penggunaan bahasa pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahu pun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan seolah-olah berada di Hong Kong, Miami atau Hawaii.

''Saya secara peribadi akan memastikan bahasa Melayu akan menjadi bahasa pentadbiran dan urusan rasmi yang utama dalam sistem pentabdiran di negeri ini.

''Justeru, saya meminta semua PBT supaya melihat kembali dan memantau setiap papan tanda yang ada di kawasan masing-masing," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia bersama-sama DBP untuk memberikan suntikan baru dalam gerakan memperkukuhkan bahasa kebangsaan bagi menggambarkan citra negeri dan budaya bangsa.

Rabu, 14 Oktober 2009

Murugiah saman Kayveas RM10 juta


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah hari ini memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas. Saman itu adalah berhubung kenyataan media oleh Kayveas dan disiarkan oleh beberapa media cetak dan elektronik yang didakwa Murugiah palsu dan berniat jahat.

Ia difailkan oleh peguam Murugiah, Francis Pereira di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang. Murugiah, yang bertindak sebagai plaintif, dan menamakan Kayveas sebagai defendan bagaimanapun tidak hadir sama di mahkamah bagi pemfailan saman itu. Dalam pernyataan tuntutannya, Murugiah mendakwa Kayveas telah beberapa kali membuat kenyataan palsu yang berniat jahat terhadapnya dalam beberapa sidang akhbar dan mengetahui bahawa kenyataan itu akan disiarkan dalam media cetak serta elektronik.

Murugiah, yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi PPP, mendakwa pernyataan berkenaan diterbitkan oleh akhbar Berita Harian, The Star and The New Sunday Times pada 10 Mei lepas, The New Straits Times Online pada 11 Mei serta di TV3 pada 9 Mei lepas melalui satu temuramah. "Penerbitan media yang dibuat adalah daripada kenyataan asal defendan yang mendapat kebenaran daripadanya (Kayveas) untuk diterbitkan dan dalam keadaan ini beliau bertanggungjawab terhadap semua penerbitan itu.

"Pernyataan yang dituturkan itu adalah jelas memfitnah yang bermaksud hendak merendahkan saya yang memegang jawatan sebagai senator, timbalan menteri dan ahli Majlis Tertinggi PPP. "Akibat daripada itu, ia telah mencemarkan nama baik saya dan membawa saya kepada satu penghinaan dan menjejaskan reputasi saya,

" dakwanya.
Sehubungan itu, selain memohon ganti rugi am sebanyak RM10 juta, Murugiah juga memohon ganti rugi teruk atau teladan, kos lain dan injunksi untuk menghalang fitnah seumpama diterbitkan lagi. BERNAMA

Isnin, 12 Oktober 2009

TUN KATA JANGAN SYOK SANGAT


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana ia merupakan kubu kuat BN.

"Saya amat gembira. Daripada awal lagi saya telah menjangkakan kita (BN) boleh menang kerana itu kawasan kita. Isa (Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad) memang kuat di situ dan orang India juga sokong dia.

"Saya percaya dia (Mohd Isa) akan menang bahkan saya juga percaya kalau letak orang lain pun kita akan menang. Sekarang, kita juga kena jaga kawasan lain...Kita boleh menang terutama di kawasan parti lawan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Cempaka di sini, malam ini, Dr Mahathir turut mengingatkan anggota parti supaya tidak ghairah dengan kemenangan itu sehingga terlupa melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Jika Umno terlampau ghairah dengan kemenangan di satu tempat sedangkan kita kalah di banyak tempat...kalau kita lupakan tanggungjawab, saya percaya dalam pilihan raya umum akan datang, mungkin kita tidak capai kemenangan yang baik atau pun kita tak menang," katanya.

Ditanya sama ada kemenangan di Bagan Pinang petanda Umno diterima di kawasan berkenaan, beliau berkata sememangnya parti itu mendapat sokongan di situ.

"Kalau kita tidak berhati-hati, kita tidak ambil berat masalah rakyat, kita tidak ada satu program yang memikat hati rakyat...walaupun kita menang di Bagan Pinang, di tempat lain mungkin kita tidak menang. Kita tidak boleh terlalu ghairah," katanya.

Pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang hari ini, BN mempertahankan kerusi berkenaan menerusi calonnya, Mohd Isa yang mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd Isa memperoleh 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi. BERNAMA

Ahad, 11 Oktober 2009

PROSES PENGUNDIAN AGAK PERLAHAN


pengundi agak kurang dan agak perlahan.

Masih tidak ramai yang keluar mengundi pada sebelah pagi ini,mungkin kerana masih enak dibuai mimpi atau menyelesaiankan dulu urusan-urusan keluarga sebelum ke Pusat Pengundian untuk membuang undi.

Dijangkakan peratusan keluar mengundi sekitar 80% kerana pengundian yang diadakan pada hari minggu.


Perayu undi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang Port Dickson (Gambar)

Mampus UM-no!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Hancur be END!!!!!!!!!From Cucu tok ayah blogspot

Khamis, 8 Oktober 2009

Pertugas Pakatan Rakyat dibelasah

Lagi pertugas Pakatan Rakyat dibelasah









Lagi gambar petugas PR dipukul di Sri Rusa hingga berdarah

SMS dari Ketua Pemuda PAS

Keadaan semakin kritikal di Bagan Pinang, Ramai petugas PAS dan Pakatan Rakyat dipukul dan terbaru malam semalam, markas Pemuda PAS Pusat di Bagan Pinang telah diceroboh dan dihalau keluar.

Demi Allah dengan nama jihad fi sabilillah, ana selaku pemegang amanah sebagai ketua DPPP mengerahkan seramai mungkin pemuda dari seluruh negara agar turun ke Bagan Pinang.

Raptai jam 9.00 malam ini di Markas dan akan dipimpin oleh ustaz Azman TKP untuk arahan kawalan keselamatan.

Sila sebarkan seluruh negara....

Selasa, 6 Oktober 2009

Poster propaganda Bn Bagan Pinang







Poster yang cuba menipu rakyat Malaysia.... tetapi BN ingat rakyat Malaysia bodoh macam ahli umno
Ini bukan zaman 50"an..., ini zaman orang celik Komputer....dengan taip dan klik kita boleh dapat maklumat dengan sms kita dah dapat berita dan infomasi terkini ...
Zaman orang tunggu risalah dari kapal terbang dah berakhir ..
zaman orang kampung tunggu wayang pacak dari kementerian penerangan pun sudah berakhir..
zaman propaganda poster macam diatas pun kira sudah ketinggalan zaman ...
janganlah nak memperbodohkan rakyat dengan taktik lapuk ini...orang akan lagi membenci dan mual dengan umno ..

Isnin, 5 Oktober 2009

Azeez dimasukkan ke wad HKL


KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi setelah mengalami kesan sampingan akibat ditumbuk oleh penyokong Pas di Port Dickson, semalam.

Beliau dimasukkan ke Wad Ortopedik apabila mengalami rasa tidak selesa dan mual ketika berada di kediamannya di Subang Jaya.

Sebelum itu, beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Kemang, Port Dickson.

“Doktor di Teluk Kemang membenarkan saya pulang berehat setelah diberi suntikan serta menjalani ujian X-ray di hospital itu tetapi sejurus selepas Maghrib di rumah, saya mula rasa tidak selesa,” katanya ketika ditemui di wad berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berasa seperti hendak pengsan serta mual dan terus ke HKL untuk pemeriksaan lanjut atas nasihat seorang rakannya.

Dalam kejadian semalam, Abdul Azeez mengalami lebam di leher dan mukanya selepas ditumbuk oleh penyokong Pas selepas cuba melindungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kawasan pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang .

Ismail Sabri turut melawat Abdul Azeez di HKL hari ini untuk mengetahui keadaannya.

“Saya berasa bertanggungjawab kerana berada bersama beliau semasa kejadian dan mengharapkan agar pemimpin parti pembangkang dapat mendisiplinkan pengikut-pengikut mereka supaya tidak bertindak liar,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, kejadian seperti itu akan terus berlaku sekiranya penyokong parti pembangkang mengamalkan sikap tidak berhemah seperti itu.


Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Salahuddin Ayob mendakwa ketua Putera Umno hanya mereka-reka cerita yang dia dipukul oleh penyokong pembangkang sewaktu penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Beliau mengulas dakwaan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dia telah dipukul oleh penyokong PAS.

Salahudin berkata, Azeez telah datang menemuinya dan memberitahunya yang dia telah dipukul oleh sembilan pemuda PAS.

Katanya, sekiranya benar Azeez dipukul oleh sembilan orang, sekurang-sekurang tentu ada tanda bengkak atau cedera.

Bagaimanapun, menurut Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Krian, dia tidak nampak apa-apa kesan pada Azeez.

Malah, katanya, baju Azeez juga bersih dan tiada tanda kotor sebagai bukti berlaku pergelutan antaranya dengan mereka yang menyerangnya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Salahuddin menyifatkan dakwaan Azeez itu sebagai satu pembohongan untuk mengelirukan rakyat.


Khamis, 1 Oktober 2009

Dilarang berkempen – SPR






Wan Ahmad Wan Omar menunjukkan sampul surat untuk undi pos selepas memberi taklimat kepada Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan petugas SPR di Port Dickson, semalam

PORT DICKSON 30 Sept. – Mana-mana parti yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dilarang mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak tegas terhadap mana-mana parti yang berbuat demikian.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kebenaran hanya diberikan kepada parti yang bertanding memasang bahan kempen seperti gambar calon, logo parti dan pemimpin mereka.

“Kita mahu parti yang tidak bertanding, janganlah menyusahkan SPR dan pihak keselamatan.

“Jangan cuba melanggar undang-undang kerana parti yang tidak bertanding ini tidak membayar deposit bahan kempen serta pilihan raya. Jadi mengapa mereka hendak menumpang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan petugas SPR di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang ini, BN menamakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calonnya, manakala Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan sebagai calon Pas.

Tambah Wan Ahmad, dalam pilihan raya kecil di kali ini, hanya parti Pas dan Barisan Nasional (BN) saja dibenarkan memasang bahan kempen mereka selain Bebas, jika ada penamaan calon.

“BN mempunyai 14 parti gabungan dan mereka berdaftar. Tetapi pakatan pembangkang ini tidak berdaftar, ini bermakna, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh memasang bahan kempen bersama Pas.

“Dalam istilah SPR, kita hanya mengiktiraf parti atau gabungan yang berdaftar. Bagi pakatan pembangkang ini, mereka tidak berdaftar. Saya pun hairan mengapa mereka tidak berdaftar,” kata beliau.

Sehubungan itu, SPR telah menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya dan mereka ini akan menasihatkan wakil parti supaya bekerjasama dalam aspek berkenaan.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, petugas SPR sendiri akan mengambil tindakan. Saya harap perkara ini jelas dan jangan pula esok ditimbulkan rasa tidak puas hati dan sebagainya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Wan Ahmad memberitahu, jika ada pemimpin dalam pakatan pembangkang yang mahu berceramah, itu dibolehkan dengan syarat permit dimohon oleh parti yang bertanding.

Dalam pada itu, SPR juga bertegas dalam soal larangan berkempen pada hari pembuangan undi iaitu 11 Oktober ini.

“Tidak boleh didirikan ‘pondok panas’, merayu dan meraih undi, kibarkan bendera parti atau berkonvoi. Jika ini berlaku pihak berkuasa khususnya polis akan mengambil tindakan,” jelas beliau.

Sementara itu, SPR hari ini mengumumkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

“Seramai 277 petugas SPR akan terlibat sepanjang pilihan raya kecil ini, yang mana bajet yang dikeluarkan SPR adalah RM360,000,” jelas beliau.

Mengenai undi pos yang melibatkan 4,604 undi, Wan Ahmad memberitahu, terdapat lapan kem tentera di sini akan digunakan untuk tujuan pembuangan undi dan antaranya ialah Kem Sunggala, Kem Si Rusa dan Kem Kampung Sawah.

“Wakil calon dibenarkan berada dalam dewan pembuangan undi pos ini.

“Sebaik sahaja prosesnya selesai, kertas undi akan disimpan dalam bilik pegawai pengurus dengan kawalan ketat polis selama 24 sehingga pada hari pengiraan undi,” kata beliau.

Bagi hari penamaan calon pada 3 Oktober ini, Wan Ahmad menasihatkan supaya parti yang bertanding tidak membawa penyokong terlalu ramai kerana kawasan persekitaran Dewan MPPD yang menjadi lokasinya di sini terlalu kecil.

“Saya juga nasihatkan semua calon supaya mengisi borang dengan betul. Jangan lakukan kesilapan. Amat malang jika borang yang diisi terdapat kesilapan yang boleh menyebabkan calon berkenaan tidak dibenarkan bertanding,” kata beliau.
utusan online