Selasa, 25 Mac 2014

#MH370 - 'Makcik tak tau nak cakap apa'


"Bagi makcik masa dahulu. Makcik tak tau nak cakap apa, sedih sangat dengar pengumuman tadi," kata ibu kepada jurutera kapal terbang Khairul Amri Selamat.

Normah Jaafar, 50-an, amat sedih mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dikesan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Khairul Amri, 29, merupakan seorang daripada 227 penumpang pesawat itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana urusan kerja iaitu untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian.

Normah ketika dihubungi tidak dapat menahan perasaan sedih sebaik mengetahui perkara itu dan menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang menimpa anaknya.

Beliau bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada media kerana ramai yang menghubunginya untuk menyampaikan rasa simpati mereka.

Normah, yang tinggal di Taman Kerayong Makmur, Bera dekat Kuantan tidak mampu bercakap lebih lanjut kerana terlalu sedih.

Difahamkan beliau akan ke Kuala Lumpur esok pagi untuk mengetahui dengan lebih lanjut tragedi yang menimpa pesawat MH370 selepas ia hilang sejak 8 Mac.

Khairul Amri, 29, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan mempunyai seorang anak berusia setahun tiga bulan.

Bernama

Sabtu, 22 Mac 2014

Hari ke-14 belum nampak kesudahannya


Selain daripada imej satelit baru objek yang kelihatan di Lautan Hindi, taklimat petang ini - yang mungkin paling ringkas sehingga kini tentang kehilangan pesawat MH370 - memberikan bayangan yang usaha mencari pesawat tersebut masih jauh daripada menemui kesudahannya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi menyatakan yang "mereka kini berusaha untuk jangka masa panjang" dalam misi mencari dan menyelamat.

Tegasnya, matlamat utama kini kekal untuk mencari pesawat yang hilang.

Ditanya jika beliau sudah menjelaskan situasi tersebut kepada keluarga penumpang dan anak kapal - tentang kemungkinan kesudahan yang jelas tidak akan diperolehi dalam jangka masa terdekat - Hishammuddin menjawab: "Ia amat sukar".

"Satu-satunya jawapan yang mereka mahukan, adalah juga jawapan yang kita tidak ada... di mana orang tersayang mereka dan di mana pesawat tersebut?" tambahnya.

Sewaktu keluarga penumpang-penumpang China berang dan mempertikaikan sama ada kerajaan Malaysia boleh dipercayai dalam menjelaskan isu ini, Hishammuddin bagaimana pun menjelaskan yang perbincangan "membina dan jujur” berlangsung dengan pihak berkenaan, di Kuala Lumpur semalam. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, di Sepang, Selangor hari ini:
    
Malaysia terus berusaha menangani cabaran diplomatik, teknikal dan logistik melibatkan operasi mencari MH370.

Kami masih menunggu maklumat daripada operasi mencari dan menyelamat Australia mengenai sama ada objek dipaparkan dalam imejan satelit dikeluarkan Australia semalam benar-benar berkaitan dengan MH370.

Pada masa yang sama, kami meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan koridor selatan dan koridor utara yang masih belum diliputi. Kini, saya akan berikan taklimat perkembangan terkini operasi.
    
Perkembangan operasi
     
Usaha mencari di barat daya Perth diteruskan, dan pihak berkuasa Australia mempergiatkan usaha mereka di kawasan itu. HMAS Success dijangka sampai ke kawasan objek itu esok.

China menghantar lima kapal dan tiga helikopter yang kini sedang menuju ke koridor selatan. Tiga pesawat China (dua Ilyushin IL-76s dan satu Shaanxi Y-8) tiba di Malaysia pada 11 pagi ini. Ia juga akan melakukan pencarian di koridor selatan.
    
Jepun menghantar asetnya ke Perth, termasuk dua pesawat P-3 Orion, untuk membantu Australia dalam usaha mencari.
    
Pagi ini saya bercakap dengan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom yang mengesahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah bercakap dengan Perdana Menteri UK (David Cameron), dan HMS Echo sudah dalam perjalanan menuju ke selatan Lautan Hindi untuk membantu usaha mencari. Beliau turut mengesahkan bahawa UK akan memberikan kita senarai aset yang mungkin boleh dikerahkan jika perlu.

Beliau turut mengesahkan bahawa, sebagai tambahan kepada bantuan teknikal diberikan setakat ini, ia juga bersedia memberikan bantuan pakar pencarian dan penyiasatan sebaik sahaja lebih banyak maklumat mengenai nasib MH370 diketahui.
    
Saya juga berhubung dengan delegasi Perancis, diketuai Duta Besar Perancis di Malaysia, dan termasuk individu yang mengetuai penyiasatan nahas Air France 447 terhempas. Mereka telah bersetuju untuk membantu kita berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka.
     
Saya juga akan menghubungi Setiausaha Pertahanan AS pada 21:15 malam ini, untuk memohon aset khusus lain untuk membantu usaha mencari dan menyelamat, termasuk kenderaan beroperasi menggunakan alat kawalan jauh bagi pencarian di laut dalam.
    
Pihak Kazakhstan telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka tidak menemui sebarang kesan MH370, dan kami sedang menunggu kebenaran bagi Kazakhstan digunakan sebagai pusat bagi operasi mencari.
    
Mengenai penyiasatan polis, polis Ukraine telah mengesahkan pemeriksaan latarbelakang terhadap penumpang warga Ukraine mendapati mereka 'bersih'.
       
Pemerosesan data satelit
    
Saya mahu bincangkan secara ringkas pemerosesan data Inmarsat. Pasukan penyiasat menerima data kasar satelit Inmarsat yang lengkap termasuk enam 'handshake' pada kira-kira 15:00 Rabu, 12 Mac.
    
Data jenis ini biasanya tidak digunakan dalam penyiasatan seperti ini. Oleh kerana kita hanya mempunyai begitu sedikit maklumat lain untuk digunakan dalam situasi sukar dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan data ini digunakan.
    
Sebaik menerima data kasar, pihak berkuasa Malaysia serta merta berbincang dengan pasukan AS mengenai bagaimana data ini boleh digunakan. Pasukan AS dan pasukan penyiasat kemudian menghantar data ini ke AS, kerana ia memerlukan pemerosesan lebih lanjut sebelum boleh digunakan.
    
Keputusan awal diterima pada Khamis 13 Mac pada kira-kira 13:30, tetapi telah dipersetujui oleh pasukan AS dan pasukan penyiasat bahawa ia perlu diperhalusi lagi, jadi data itu sekali lagi dihantar ke AS.
    
Keputusan diterima pada kira-kira 14:30 Jumaat 14 Mac, dan dibentangkan kepada pasukan penyiasat pada mesyuarat peringkat tinggi pada 21:00 Jumaat. UK AAIB, yang turut memproses data ini secara bebas, membentangkan keputusan mereka – yang selaras dengan keputusan kami dan pasukan AS – pada mesyuarat itu.
    
Perdana Menteri diberikan taklimat mengenai maklumat satelit ini pada  08:00 Sabtu, 15h Mac, dan mengumumkannya pada sidang akhbar pada waktu makan tengah hari Sabtu. Operasi mencari dan menyelamat dialih ke koridor utara dan koridor selatan.
    
Penjagaan keluarga
     
"Malam tadi di Kuala Lumpur kami mengadakan taklimat untuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Seperti saya nyatakan dalam kenyataan semalam, taklimat itu untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada anggota keluarga, dan untuk menjawab soalan dan menjelaskan sebarang kekeliruan.
    
Mesyuarat itu telah dihadiri anggota keluarga dari negara berlainan, termasuk Malaysia, dan wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur.
    
Delegasi peringkat tinggi Malaysia, termasuk wakil Malaysia Airlines, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara turut menghadiri mesyuarat.
    
Perbincangan berlangsung secara konstruktif dan berterus terang. Walaupun kami menjawaB hampir semua soalan dikemukakan, kami tidak dapat menjawab semuanya. Taklimat ini akan diteruskan – mengikut kesesuaian keluarga – selagi keluarga mahukannya.
    
Taklimat menjadikan anggota keluarga dan pihak berkuasa Malaysia lebih rapat, bukan sahaja dari segi berkongsi maklumat, tetapi juga dari segi mendengar suara hati anggota keluarga.

Duta Khas Perdana Menteri ke China akan menyelaraskan taklimat di Kuala Lumpur mulai sekarang.
    
Pasukan peringkat tinggi saya umumkan semalam tiba di Beijing malam tadi. Hari ini mereka bertemu dengan anggota keluarga selama tiga jam setengah.
        
Kenyataan penutup
    
Usaha mencari akan diteruskan melibatkan pelbagai negara dari seluruh dunia dan diselaraskan Malaysia. Kami terus menerima tawaran bantuan, termasuk aset khusus yang dapat membantu operasi mencari dan menyelamat. Kami mengalu-alukan semua bantuan tatkala kami meneliti semua petunjuk berwibawa. "
    

Khamis, 20 Mac 2014

MH370: RAAF gagal kesan serpihan di Lautan Hindi


  • Tony AbbottTony Abbott
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Cuaca buruk menyebabkan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berdepan masalah mengesan objek yang dicerap satelit di selatan Lautan Hindi, yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia yang hilang, demikian menurut Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
  
Dalam tweetnya, AMSA menyatakan kepulan awan dan hujan mengehadkan jarak penglihatan anak kapal pesawat P-3 Orion RAAF dalam usaha mencari objek itu yang dicerap oleh satelit kira-kira 2,500km dari barat daya bandar raya Perth di Australia.
  
Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata imej satelit itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13.
   
Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.
  
Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi  Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

Isnin, 17 Mac 2014

1 maut, 2 parah bas ekspres jatuh gaung


GOPENG - Seorang pemandu bas maut manakala dua penumpang parah apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung sedalam hampir 10 meter di Kilometer 301.5 Lebuhraya Utara-Selatan laluan ke utara, berhampiran Gua Tempurung di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Hasmir Arshad, 43, dari Bercham, Ipoh, maut di tempat kejadian.
Dua penumpang, Mong Ming Chai, 48, dan Farahzela Zainal Abidin, 27, masing-masing dari Salak Utara, Kuala Kangsar dan Kampung Jalong, Sungai Siput parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kampar Supritendan Ng Kong Soon berkata kemalangan pada pukul 4.25 petang itu dipercayai berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu cuba mengelak sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang terbabas di hadapannya.

Ini mengakibatkan bas membawa dua penumpang terbabit hilang kawalan dan merempuh penghadang tepi lebuh raya itu sebelum terjunam ke dalam gaung yang terletak kira-kira lima kilometer dari plaza tol Gopeng, katanya di sini.

Ng berkata ketika kejadian, bas itu melalui jalan lurus manakala cuaca pula baik.Sementara itu, rakan Hasmir, Rosli Shaari, 43, berkata mangsa berpengalaman memandu bas selama lebih 10 tahun dan tidak pernah melaporkan sebarang masalah yang dihadapinya berhubung bas tersebut.

Rosli yang bekerja sebagai pemandu bas di syarikat yang sama, berkata pemandu mempunyai jadual khusus bagi kekerapan perjalanan bas setiap hari dengan satu atau dua kali perjalanan sahaja.

"Bas sentiasa diselenggara dari semasa ke semasa di kawasan bengkel di Simpang Pulai. Saya mengenali Hasmir lebih enam tahun dan dia mempunyai seorang isteri dan tiga anak yang kini tinggal di Medan, Indonesia," katanya.

Ahad, 16 Mac 2014

4 bekas tokoh Umno berkongsi pentas, seru pengundi tolak BN


KAJANG 16 MAC: Empat bekas tokoh Umno semalam berkongsi pentas yang sama dan menyeru pengundi menolak Barisan Nasional khususnya dalam Pilihanraya Kecil N 25 Dun Kajang.
Sharif
Mereka yang menyampaikan ceramah terdiri daripada Datuk Tamrin Abdul Ghafar, yang menyertai Pas sejak 2012, bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh,  Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, dan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, Datuk Sharif Omar,  yang baru mengumumkan sebagai ahli KEADILAN pada 14 Mac lalu.

Kesemua bekas pimpinan Umno itu berucap dalam satu ceramah  bertemakan “Tiada Esok Bagi Umno BN” di Tapak Karnival Usahawan, Jalan Jerlok 9, Kajang.
Dalam ucapannya, Tan Sri Sharif Omar yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri  Pulau Pinang mengakui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir  Mohamad mempergunakan seluruh jentera Umno untuk menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
“Semasa saya jadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang,  disuruh buat mesyuarat panggil ketua cabang, untuk sokong tindakan pemecatan yang dikenakan ke atas  Anwar Ibrahim,” ujarnya.
Mohd Shariff   menyerahkan borang keahlian menyertai KEADILAN ketika ceramah di Kajang, pada Jumaat malam lalu.
Thamrin
Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor secara automatik dipecat daripada Umno selepas bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum lalu.

Sementara itu, Datuk Tamrin dalam ucapannya berkata, sudah tiba masanya rakyat Kajang melalui PRK ini menolak pembaziran dilakukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Anak kepada tokoh Umno, Tun Ghafar Baba ini berkata,  Najib boros berbelanja termasuk menggunakan pesawat persendirian ke luar negara, sedangkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kita (rakyat Malaysia) dapat apa?, Umno BN menang dulu sebab tipu orang kampung, jadi apa yang ditunggu lagi?
“Saya minta tuan puan, kita tunjukkan. Ajar BN cakap dengan pimpinan Najib, kepimpinan Najib tidak boleh dihormati lagi,” katanya.
ceramah 2
Dr Zayadi Awanag Noh pula menjelaskan kepentingan memilih kepimpinan yang baik untuk kesejahteraan rakyat, dengan menjadikan kerajaan Kelantan dan Selangor sebagai contoh.

ceramah
“Mereka (pemimpin Umno) hidup di luar batasan kemampuan, tapi rakyat kena makan kangkung.

“Kita mahu kepimpinan yang baik. Kenapa Kelantan boleh bertahan 23 tahun? Kerana kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kenapa Pakatan Rakyat Selangor boleh bertahan, boleh menang lebih daripada dua pertiga majoriti? Kerana kepimpinan Tan Sri Khalid. Kita mesti laksakan perubahan ini,” ujarnya.

MH370 boleh sampai Kazakhstan atau selatan Lautan Hindi


 MH370 boleh sampai Kazakhstan atau selatan Lautan Hindi
 
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan sama ada benar pesawat MH370 dirampas seprti dilapor media antarabangsa.

Bercakap pada sidang media khas tengah hari tadi, Najib bagaimanapun berkta siasatan mengambil kira semua kemungkinan.

"Namun kita masih menyiasat semua kemungkinan mengenai apa yang menyebabkan MH370 melencong dari laluan penerbangan asalnya," kata Najib.

Najib turut mengesahkan bahawa pesawat tidak dikenali yang dikesan menukar arah dan terbang ke arah barat ialah pesawat MH370.

Pengesahan itu diperoleh berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan ke atas data yang sama.

"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8 Mac," katanya.

Dengan data itu juga kata Najib, pasukan penyiasat membuat pengiraan sejauh mana pesawat itu mampu terbang.

Menurut beliau, dengan data itu pesawat boleh berada di dua koridor iaitu koridor Utara dari utara Thailand sehingga Kazakhstan dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Beliau juga memaklumkan bahawa pencarian di Laut China Selatan dihentikan dan siasatan kini ditumpukan semula ke atas anak kapal dan penumpang.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing 8 Mac lalu.

Sabtu, 15 Mac 2014

Sah MH370 tersasar laluan asal


  • MH370
 1 / 1 
SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, sambil berkata ia telah menyimpang dari laluan penerbangan asal menuju ke Beijing dan hilang sejak Sabtu lepas.
  
"Hari ini berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh dari penyedia perkhidmatan data satelit, kita boleh sahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah Penerbangan MH370," katanya.
  
Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan sejawat antarabangsanya memutuskan bahawa kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit kemungkinan dalam satu daripada dua koridor.
  
Dua koridor yang berkemungkinan itu adalah satu koridor utara yang dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga utara Thailand atau koridor selatan yang dianggarkan menganjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.
  
"Pasukan siasatan sedang berusaha untuk memperhalusi maklumat itu," katanya.
  
Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya. - Bernama

Jumaat, 14 Mac 2014

'Bomoh bubu' mahu tampar, saman KJ


Seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain mengancam untuk menampar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana menggesa agar beliau ditangkap.

Ibrahim, yang mencetus kontroversi susulan upacara perbomohan yang dijalankannya di lapangan terbang KLIA bagi mengesan pesawat MH370, mengancam demikian kerana marah dengan kenyataan menteri tersebut di Twitter.

"Biar saya cakap terang-terang pada Khairy Jamaluddin hari ini. Saya cabar dia.

"Letak jawatan jadi menteri dan saya letak jawatan sebagai mahaguru. Kita berlawan.

"Saya tampar dia macam (semudah menampar) buaya nanti, baru dia tahu," katanya.

Katanya, beliau juga akan mengemukakan saman sebanyak RM100 juta sekiranya ketua Pemuda Umno itu mengulangi kenyataan tersebut.

Ancaman tersebut disiarkan melalui dalam satu rakaman video di satu blog dinamakan suara.tv.

"Saya bagitahu Khairy, kalau dia buat lagi saya nak saman dia RM100 juta. Menjatuhkan imej Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zain.

"Anak murid saya seramai beberapa juta orang akan sanggup ke depan ke mahkamah," katanya lagi.

Menteri itu pada 12 Mac lalu menulis, "bomoh permaidani sakti" itu perlu ditangkap kerana "memalukan" negara.

Ibrahim pada hari Isnin lalu mendapat perhatian meluas apabila muncul di balai berlepas KLIA dengan dua batang buluh dan satu bubu.

Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan batang buluh berkenaan sebagai satu teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.

Beliau muncul sekali lagi pada hari Rabu dan bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, dengan diperhatikan oleh orang ramai.

Dalam upacara tersebut, salah seorang pembantunya itu menggunakan sebatang tongkat untuk membuat gaya mendayung sampan dan seorang lagi menggunakan satu bakul untuk menunjukkan gaya mencedok air.

Individu terakhir dalam barisan tersebut memegang dan menggerakkan buah kelapa di kedua-dua belah tangan.

Dalam upacara itu mereka melaungkah takbir beberapa kali.

Bomoh Syirik Tak Apa, Solat Hajat Tak Boleh!


 
 
Polis mengambil keterangan Ketua Pemuda PAS Selangor sejurus tamat majlis solat hajat dan bacaan yasin di KLIA. Tok moh buat ritual xda plak polis ambil keterangan..
Buat solat hajat dan bacaan yasin mcm salah plak dari segi undang2 dlm malaysia..

Bomoh biol sampai 2 kali bole..sampai masa nk baca yasin sembahyang hajat..amek nama bagai..aku rasa polis yg amik nama keje je..yg arahkan tu biol..
 
Sumber link

Khamis, 13 Mac 2014

Media antarabangsa lapor pengguna media sosial gelar Najib ‘tidak ada otak’


 Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin melakukan ritual untuk mencari pesawat MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Isnin. Pengguna media sosial menggelar Datuk Seri Najib Razak tidak ada otak kerana membenarkan perkara ini berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2014.

Sebuah laman sesawang antarabangsa International Busines Times (IBTimes) melaporkan pengguna media sosial menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak ada otak (“brainless”) apabila membenarkan bomoh untuk membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
IBTimes melaporkan seorang pengguna Weibo, sebuah laman sosial media China, berkata: "Buat pertama kali sebagai rakyat Malaysia, saya merasa malu, bukan kerana salah laku apa-apa tetapi kerana memiliki perdana menteri yang tidak ada otak.
"Berhentilah dari menjatuhkan air muka rakyat Malaysia," kata penulis itu sebagaimana dilaporkan oleh IBTimes.Respon ini selepas tindakan kerajaan membenarkan seorang yang menamakan dirinya sebagai Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin, melakukan ritual untuk mencari di mana pesawat MH370 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada hari pertama, Ibrahim dan pembantunya datang dengan sangkar dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu manakala hari kedua beliau datang dengan buah kelapa dan tikar terbang.
Ia dilakukan di tengah-tengah kesibukan KLIA dan mendapat kecaman pelbagai pihak.
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkannya sebagai "satu kerja gila" dan manakala ramai ulama menyifatkannya sebagai tindakan khurafat.
Pengguna media sosial juga mempermainkan tindakan bomoh itu dengan menyamakannya dengan “tikar terbang” yang dilakunkan oleh seniman agung Tan Sri P. Ramlee.

Rabu, 12 Mac 2014

Vietnam kesan MH370 tukar arah ke barat


 
 
Kerajaan Vietnam mendedahkan bahawa pusat kawalannya mengesan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 menukar laluan ke arah Laut Andaman pada hari Sabtu.

Timbalan menteri pengangkutan Vietnam Pham Quy Tieu dalam satu laporan agensi AFP menyebut, pihaknya memberitahu perkara itu kepada kerajaan Malaysia tetapi tiada makluman balas.

“Kami memaklumkan kepada Malaysia pada hari kami terputus hubungan dengan pesawat tersebut bahawa kami mengesan pesawat tersebut berpatah balik ke arah barat tetapi Malaysia tidak memberi maklum balas.

“Kami bertanya kepada pihak berkuasa Malaysia sebanyak dua kali, namun sehingga kini mereka belum menjawab kepada kami,” kata Tieu.

Selasa, 11 Mac 2014

MH370: Bila menteri gagal jaga mulut


 

KITA sepakat untuk menyatakan kehilangan pesawat MH370 dengan 227 penumpang dari 14 negara sebagai satu tragedi hitam negara. Dan sehingga saat ini, rakyat Malaysia daripada segala lapisan kaum dan agama berharap dan berdoa moga pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang hilang dalam penerbangan ke Beijing sejak pagi Sabtu lalu selamat ditemui.
Tempoh penantian lebih 72 jam sejak insiden itu berlaku dinanti penuh debaran oleh rakyat negara ini apatah lagi keluarga mangsa. Namun berita-berita yang tersebar di alam maya berhubung insiden itu menambahkan resah dan tidak meredakan debaran dada.
Seorang pensyarah universiti tempatan menyifatkan berita-berita sensasi tentang kehilangan MH370 yang tersebar di alam maya sebagai 'mencemar institusi kewartawanan'. Berita dan ulasan yang berlegar di media sosial itu, jelas beliau tidak disahkan kebenarannya dan ini pastinya bertentangan dengan etika kewartawanan.
Memang diakui tindakan menyebarkan berita yang tidak diketahui sumber dan intergritinya itu boleh memudaratkan kepentingan awam. Bagaimanapun umum mengetahui bahawa maklumat yang didapati di alam siber bukanlah sesuatu yang boleh diterima bulat-bulat apatah lagi jika ianya tanpa sumber,  bersifat 'cakap dengar' (hearsay) atau lebih teruk  cuma 'salin  dan tampal' (copy and paste).
Tapi jika kenyataan itu datang daripada seorang menteri apatah lagi menteri kanan, ia suatu yang perlu diberikan perhatian serius.
Oleh kerana itulah kita melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap tidak cermat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilapor mengecam pegawai imigresen bertugas dalam insiden penggunaan pasport curi oleh dua penumpang pesawat MH370.
Zahid ketika bercakap dalam satu sidang media  di Seri Perdana, Putrajaya, 9 Mac lalu menyifatkan pegawai imigresen berkenaan sebagai 'tidak boleh berfikir'.
"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu beliau berkata siasatan terperinci akan dilakukan terhadap Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370," katanya.
Siasatan itu, ujarnya akan dijalankan pasukan khas diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.
Tidak sampai 24 jam selepas memberikan kenyataan 'tidak berlapik' itu, satu tamparan singgah di muka Zahid.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang akhbarnya mengesahkan bahawa dua penumpang lelaki pesawat MH370 yang menggunakan pasport curi itu tidak memiliki paras rupa Asia.  
"Kami telah berulang-ulang melihat semua gambar video, mereka tidak menyerupai lelaki Asia," katanya kepada ratusan pemberita asing dan tempatan yang masih bersesak menghadiri sidang akhbar pada lewat malam, 10 Mac.
Beliau menegaskan selepas meneliti gambar-gambar video (CCTV) dari kawasan berlepas, semua protokol keselamatan telah dipatuhi.
"Ada kemungkinan wujud sindiket pasport curi," kata beliau.
Tamparan kedua dirasai Zahid ekoran sidang akhbar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat pada petang 11 Mac.
Aloyah mendedahkan bahawa penumpang yang menggunakan pasport curi warga Austria, Christian Kozel  tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.28 malam 28 Februari.
Seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport curi warga Itali, Luigi Maraldi tiba pada 8.31 malam dari Phuket, Thailand menerusi penerbangan QR849 Qatar Airways.
Kedua-dua mereka diberi pas lawatan sosial 90 hari.
Penumpang pertama diberi kebenaran untuk berlepas dari KLIA pada 8.07 malam manakala penumpang kedua pula mendapat kebenaran pada 8.31 malam.
Aloyah berkata, pegawai imigresen yang bertanggungjawab memberi kebenaran kepada kedua-dua penumpang itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila mendapati pembawa dan gambar di dalam pasport itu sepadan.
Alangkah baiknya bagi Zahid jika bersabar dan menunggu hasil siasatan sebelum mengeluarkan kenyataan mempertikaikan pegawai imigresen bertugas.
Jika sebelum ini kenyataan kontroversi Zahid banyak merujuk kepada isu-isu dalam negeri, namun kini ia menjadi perhatian antarabangsa kerana tragedi yang berlaku membabitkan warga, sempadan, tentera dan pemerintah asing.
Mungkin benar ulasan seorang pembaca:
"Institut Tadbiran Awan Negara (Intan) perlu membantu para menteri kita menangani stres, public speaking, enkod dan dekod data, risiko penyebaran maklumat penting, antara kepuasan diri bercakap dan kepentingan negara...
"Dedah kelemahan jentera sendiri dengan menegur dan memberi amaran keras secara terbuka hingga satu dunia tertanya-tanya. Di kala rakyat masih bersimpati dengan MH370 dan harga barang yang tidak menentu, lawak ayam seekor seringgit mengundang kritikan rakyat...
"Institusi yang melatih pegawai kanan kerajaan perlu berbuat sesuatu... Tegur, nasihat dan perbetulkan... Bijak sana-sini diperlukan untuk mentadbir negara dipersada rakyat dan dunia."
Biarlah teguran itu mengakhiri rencana ini.

HD

Isnin, 10 Mac 2014

Tuan Guru Nik Aziz akui Anwar 'anak jantan'


PENGKALAN CHEPA:  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anak jantan' yang tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketua Umum PKR itu, ujar Tuan Guru Nik Aziz menghubunginya pada jam 1 tengahari, 8 Mac lalu bagi memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya.
“Dari nada Datuk Seri Anwar semalam langsung tidak tergugat, menggambarkan benar-benar suara ‘anak jantan’ yang tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, semalam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyarankan PAS Pusat menganjurkan solat  hajat seberapa segera di Kuala Lumpur selepas solat Isyak berjemaah bagi memohon pertolongan Allah terhadap ujian yang dihadapi Anwar.
“Orang Islam solat sunat hajat berjemaah memohon pertolongan dan petunjuk Allah, bukan Islam hadir untuk memberi sokongan,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan musibah yang menimpa Anwar mampu membuka ruang kemenangan besar kepada calon PKR yang bertanding dalam PRK Dun Kajang kerana undi protes rakyat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan keluarga Anwar agar bersabar menghadapi ujian besar membabitkan maruah keluarga dan imej Islam.
Beliau yakin dengan insiden itu  semangat benci kepada kezaliman BN bertambah hebat berbanding biasa.

Ahad, 9 Mac 2014

Lantik Shafee jadi hakim, lebih mudah hukum pembangkang


KAJANG, 9 MAC: Kerajaan pusat ‘disyorkan’ supaya mengangkat peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai hakim bagi memudahkan kerja mengenakan hukuman ke atas pemimpin pembangkang.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Shafee yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya bagi pihak kerajaan dalam kesnya didakwa mempunyai motif politik.
“Saya tanya, kenapa tidak terus angkat dia (Shafee) jadi hakim lagi senang. Dia Umno punya peguam, jadi biar dia dakwa, siasat, maka lebih baik jadi hakim.
DSC_5098
“Dia zalim pada orang. Karpal Singh lawan minta laporan perubatan, satu jam pun tak boleh dapat, minta sehari suruh doktor beri keterangan juga tak boleh,” katanya di sini, semalam.

Beliau turut mendakwa wujud campur tangan daripada pihak luar untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya yang dibuat secara tergesa-gesa.
Katanya, kes yang sepatutnya dibicarakan pada 7 April ini dipercepatkan atas alasan hakim mempunyai ‘kes lain’ untuk diselesaikan pada tarikh itu.
“Sebab hakim mesti putuskan hari ini kerana takut terlepas 11 Mac ini (penamaan calon),” katanya.
-NFN-

Bapa mohon maaf pada Anwar, dakwa Saiful dipergunakan


Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.

NONE
"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini," kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar hari ini.


"Dengan ini saya  memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya

Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.


Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.

Dalam kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan disediakan pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan seorang peguam, Zamri Idrus.


azlan
"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."

Zamri telah menafikan dakwaan tersebut dan Malaysiakini tidak menyiarkan identiti pegawai khas di JPM itu sementara menunggu respons daripadanya.

Menurut Azlan, beliau mengetahui mengenai hal anaknya terlibat dan dituduh cuma melalui akhbar milik kerajaan kerana anaknya tidak langsung pernah menceritakan tentang kejadian dan pertuduhan tersebut kepadanya.


"Saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan dari saya sebagai bapa dari awal hingga tamat perbicaraan," dakwanya.

walaupun beliau sentiasa dilihat berdamping dan bersama dengan anaknya, Azlan menjelaskan bahawa beliau melakukannya semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anaknya. 

NONE
"Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar."

Azlan berkata, beliau memutuskan untuk membuat pendedahan ini kerana setelah sekian lama mengumpul maklumat sama ada semasa dalam perbicaraan, mahupun yang dikirim kepadanya oleh orang ramai, "saya dapati kebenaran mula terserlah dan jelas kelihatan."


Pihak pemerintah, katanya, langsung tidak pernah menemuinya  untuk berbincang kes itu atau bertanya pendapatnya.


"Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh (pegawai berkenaan)," dakwa Azlan. 
"Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat ini. Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat ini. Saya mahu rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka.

NONE
"Jika niat jahat ini berterusan, bukan sahaja umat Melayu dan Islam hancur tetapi negara musnah. Saya tidak sanggup melihat ini terjadi.


"Saya mengambil keputusan untuk bersama Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia yang dahagakan kemakmuran dan keamanan bercakap benar dan menentang kejahatan ini," katanya.
Azlan merayu kepada seluruh rakyat negara ini "bangun bersatu menentang kezaliman ini dan bekerja keras agar kebenaran akan muncul".


"Marilah kita juga doakan agar Allah menangkan perjuangan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih
pemerintahan negara dalam Pilihan Raya ke-13 nanti," katanya.