Rabu, 14 Mei 2014

Anggota Sujud Dalam Solat



D
Di dalam Mazhab Syafie, anggota sujud dalam solat ada tujuh iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua kaki. Anggota sujud yang tidak boleh berlapik ialah dahi. Hidung tidak termasuk dalam anggota sujud. Sah sujud jika seseorang meletakkan dahinya sahaja di atas lantai tanpa meletakkan hidungnya.

 (Kitab al-Fiqh al-Manhaji, Imam Syafie) Wallahu a'lam.

Sabtu, 3 Mei 2014

Brunei haram 19 perkataan untuk bukan Islam

BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Kerajaan Brunei mengharamkan penggunaan 19 perkataan, termasuk ALLAH dan masjid, oleh orang bukan Islam di negara itu.

Brunei Times melaporkan, pengharaman itu berkuat kuasa bulan ini di bawah Kod Penal Syariah.

Lain-lain perkataan diharamkan adalah azan, baitullah, al-Quran, fatwa, firman ALLAH, hadis, haji, hukum syarak, Ilahi, kaabah, kalimah syahadat, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali.

Pegawai Undang-Undang Syariah Kanan Unit Undang-Undang Islam Hardifadhillah Mohd Salleh berkata, Kod Penal Syariah juga diguna pakai kepada bukan Islam, termasuk kesalahan berzina dengan pasangan Islam, minum arak di tempat awam dan khalwat dengan pasangan Islam.

“Jika sabit kesalahan, hukuman adalah denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau satu tahun penjara. Bagi pesalah zina yang dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah berkahwin dan yang sudah berkahwin tetapi bukan Islam, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika kesalahan itu dibuktikan oleh pengakuan  atau kesaksian empat saksi,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang menghasut lelaki atau wanita Islam bercerai atau tidak menjalankan kewajipan terhadap pasangan masing-masing, boleh dikenakan denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau penjara setahun.

“Mana-mana ibu atau bapa beragama Islam yang ikhlas menyerahkan anak mereka dipelihara oleh orang bukan Islam, boleh dikenakan denda sehingga B$20,000 (RM52,000) dan atau penjara lima tahun,” katanya.

Jumaat, 2 Mei 2014

Ibrahim Ali: Syukur Anwar akan masuk penjara balik


Presiden NGO pendesak Melayu, PERKASA mendoakan agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim cepat-cepat dipenjarakan atas kesalahan meliwat pembantunya.


Dakwa Ibrahim, ia baik kerana Anwar telah banyak menyusahkan "pihak keselamatan negara".

"Saya bersyukur dan gembira Anwar akan ke penjara atas kesalahannya. Lagi cepat dia masuk penjara lagi baik.

"Ia baik untuk rakyat dan negara, baik juga untuk pihak keselamatan kerana pening dengan kerenah Anwar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim lagi, beliau ada bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran apabila Anwar dipenjarakan nanti.
Tambahnya, perkara itu pasti menjadi kenyataan memandangkan Anwar sendiri sudah menghebahkan dalam ceramah-ceramahnya yang beliau tetap akan dipenjarakan.
"Saya berdoa, cepatlah dia ke penjara, seperti yang dia sendiri uar-uarkan. 
"Sayalah orang pertama yang gembira dan bersyukur. Mungkin saya akan adakan majlis kesyukuran sebaik sahaja Anwar ke penjara," katanya lagi.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu memutuskan Anwar bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Anwar dan peguamnya kini sedang merayu keputusan tersebut.