Ahad, 25 Oktober 2009

Permintaan Nik Aziz dibawa ke peringkat pusat



KOTA BHARU 24 Okt. - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini ekoran kenyataan mengejutkan oleh Mursyidul Am parti itu.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit di kediaman Nik Abdul Aziz, beliau mendapatkan penjelasan mengenai pendirian pemimpin itu dan akan memanjangkan persoalan berbangkit kepada pimpinan Pusat dalam masa terdekat ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butir-butir perbincangan mereka sebaliknya menganggap ia sebagai amanah yang hanya akan diumumkan selepas dibincangkan di peringkat Pusat.

"Saya telah bertemu dengannya dan dengar dari mulut dia sendiri. Beliau telah meminta saya membawa amanah ini untuk disampaikan ke peringkat Pusat.

"Saya tidak boleh dedahkan amanah ini buat masa ini. Saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan akan maklumkan kepada pimpinan tertinggi mungkin esok atau lusa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Politik dalaman Pas bergolak semula dengan tiba-tiba apabila Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melalui blognya mencadangkan agar Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin prokerajaan yang bermasalah dan perlu dibersihkan melalui EGM iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Nik Abdul Aziz yang mengesahkan pendiriannya kepada pihak media semalam berkata, perubahan itu dianggap perlu kerana ia juga sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Salahuddin menolak tanggapan beberapa pihak bahawa wujud masalah dalaman dalam parti itu yang membawa kepada penulisan artikel berkenaan.

"Saya rasa tidak wujud masalah perpecahan dan tidak wujud isu dalaman parti. Saya telah mendengar sendiri apa yang beliau katakan dan tunggulah sehingga keputusan rasmi diumumkan kepada keseluruhan parti," jelasnya.

Ditanya sama ada pendirian Nik Abdul Aziz itu mempunyai asas yang kukuh, Salahuddin sekali lagi enggan mengulas mengenainya dan meminta semua pihak bersabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan