Jumaat, 11 Julai 2014

Puasa orang musafir

WALAUPUN puasa itu wajib, ada keringanan dalam agama bagi golongan  tertentu untuk tidak berpuasa. Golongan ini dibenarkan berbuka puasa. Antaranya sebab musafir.

Apabila musafir iaitu perjalanan jauh yang melebihi dua marhalah maka dibenarkan berbuka puasa. Dua marhalah ini sekitar 90 kilometer, bukan 90 meter.  Dalilnya adalah firman Allah s.w.t yang maksudnya:

"Maka sesiapa daripada kamu sakit atau musafir (haruslah dia berbuka puasa) maka gantilah hari yang lain." (Surah al-Baqarah: 185)

Dalam satu hadis, Nabi s.a.w keluar menuju Mekah pada tahun pembukaan Mekah Ketika itu Nabi berpuasa bersama para sahabat. Ketika sampai di satu tempat bernama Kura'q al-Ghamim, diberitahu kepada Baginda bahawa para sahabat keletihan kerana puasa. Oleh itu, Naib mengambil sebekas air lalu minum selepas masuk waktu Asar. (Riwayat Muslim)

Keringanan untuk berbuka bagi orang musafir, mengikut pendapat sebahagian ulama, dengan beberapa syarat.

a. Perjalanan itu harus.
Oleh itu, perjalanan semasa balik kampung diharuskan berbuka puasa. Kalau perjalanan yang tak harus seperti ingin bermain judi, maka tidak diberi kelonggaran untuk berbuka puasa.

b. Perjalanan itu bukan selalu.
Oleh itu, pemandu bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kedah umpamanya tidak diharuskan berbuka puasa. Kalau diharuskan, maka mereka tidak ada masa untuk menggantikan puasa Ramadan kerana sepanjang tahun mereka sentiasa bermusafir. Sungguh juga kalau begitu. Biasa juga orang yang sudah biasa memandu perjalanan jauh kurang berasa letih. Pepatah Melayu pun ada menyebut: "Alah bisa tegal biasa". Tetapi jika terlalu penat akibat puasa, maka diharuskan berbuka puasa.

c. Sebahagian ulama menetapkan syarat agar perjalanan musafir itu dimulakan sebelum fajar lagi.   Bukan apa, kalau pukul 2 petang baru naik bas, eloknya terus sajalah berpuasa. Tak lama lagi sudah hendak berbuka puasa.
_________________________________________________________________________________________

Petikan daripada buku Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya. Buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd itu ditulis oleh Datuk Ismail Kamus dan Mohammad Nidzam Abdul Kadir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan