Memaparkan catatan dengan label MH370. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MH370. Papar semua catatan

Ahad, 6 April 2014

Kapal China kesan bunyi ping,


 
 
 
Xinhua dan CCTV melaporkan bahawa kapal China Haixun 01 telah mengesan isyarat sekali sesaat pada frekuensi 37.5 kilohertz, yang konsisten dengan 'pinger' kotak hitam.

Ia dikesan pada 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur - kawasan di Lautan Hindi di luar Australia.
 
Bagaimanapun, laporan itu mengingatkan bahawa kaitan antara isyarat itu dengan dan MH370 masih belum disahkan.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa semua aset negara kini ditumpukan kepada misi mencari kotak hitam pesawat MH370 yang jangka hayat baterinya bakal berakhir dalam masa sehari atau dua hari lagi.
    
Menteri Pertahahan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata harapan mencari kotak hitam itu sentiasa ada berdasarkan kepada pengalaman pesawat Air France.
    
Kotak hitam AF447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009 hanya ditemui dua tahun kemudian (pada 2011).
    
"Harapan mencari kotak hitam itu sentiasa ada, kita belum berputus asa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Rakyat  Umno Bahagian Masjid Tanah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Melaka hari ini.
    
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah Datuk Ab Rauf Yusof.
    
Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-29 membabitkan 10 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal yang dikerah menjejaki pesawat itu di Lautan Hindi.
    
Beliau yang juga menteri pertahanan dan baru pulang daripada menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean di Honolulu, Hawaii, berkata negara-negara Asean perlu mengkaji semula kecanggihan teknologi satelit serta teknologi radar utama dan sekunder untuk memahami apa yang berlaku kepada pesawat MH370.
    
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
    
Usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan, apabila dipercayai pesawat berkenaan mengubah laluan dan terbang di sepanjang dua koridor - koridor utara iaitu dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
     
Berikutan kaedah analisis terhadap data satelit yang pertama kali digunakan, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB) merumuskan bahawa Pesawat MH370 terbang di sepanjang koridor selatan, dengan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
     
Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Sementara itu, Bernama juga melaporkan Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-29 membabitkan 10 pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal dikerah menjejaki pesawat yang hilang itu.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan hari ini berkata operasi itu turut membabitkan kapal pertahanan Australia ADV Ocean Shield dan kapal hidrografi Tentera Laut Diraja British HMS Echo yang meneruskan pencarian di bawah permukaan air.
    
"Operasi pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira 1,700km di barat laut Perth, Australia," katanya.
    
Menurut kenyataan itu, pencarian hari ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama dan keadaan cuaca hari ini cerah dan hujan diramal berlaku di kawasan pencarian.

Menurutnya, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memberi tumpuan di kawasan tempat pesawat itu berakhir mengikut analisis teknikal membabitkan pelbagai aspek yang pertama kali dilakukan berdasarkan komunikasi satelit dan prestasi pesawat, yang disalurkan pasukan penyiasat nahas udara antarabangsa terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.
    
JACC dilancarkan pada 1 April lepas di Perth, Australia bagi menyelaraskan pencarian pesawat MAS MH370 di selatan Lautan Hindi.
    
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
    
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
    
Pasukan pelbagai negara pada mulanya mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya, selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
    
Susulan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
    
Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370
"berakhir di selatan Lautan Hindi".

Sabtu, 22 Mac 2014

Hari ke-14 belum nampak kesudahannya


Selain daripada imej satelit baru objek yang kelihatan di Lautan Hindi, taklimat petang ini - yang mungkin paling ringkas sehingga kini tentang kehilangan pesawat MH370 - memberikan bayangan yang usaha mencari pesawat tersebut masih jauh daripada menemui kesudahannya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi menyatakan yang "mereka kini berusaha untuk jangka masa panjang" dalam misi mencari dan menyelamat.

Tegasnya, matlamat utama kini kekal untuk mencari pesawat yang hilang.

Ditanya jika beliau sudah menjelaskan situasi tersebut kepada keluarga penumpang dan anak kapal - tentang kemungkinan kesudahan yang jelas tidak akan diperolehi dalam jangka masa terdekat - Hishammuddin menjawab: "Ia amat sukar".

"Satu-satunya jawapan yang mereka mahukan, adalah juga jawapan yang kita tidak ada... di mana orang tersayang mereka dan di mana pesawat tersebut?" tambahnya.

Sewaktu keluarga penumpang-penumpang China berang dan mempertikaikan sama ada kerajaan Malaysia boleh dipercayai dalam menjelaskan isu ini, Hishammuddin bagaimana pun menjelaskan yang perbincangan "membina dan jujur” berlangsung dengan pihak berkenaan, di Kuala Lumpur semalam. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, di Sepang, Selangor hari ini:
    
Malaysia terus berusaha menangani cabaran diplomatik, teknikal dan logistik melibatkan operasi mencari MH370.

Kami masih menunggu maklumat daripada operasi mencari dan menyelamat Australia mengenai sama ada objek dipaparkan dalam imejan satelit dikeluarkan Australia semalam benar-benar berkaitan dengan MH370.

Pada masa yang sama, kami meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan koridor selatan dan koridor utara yang masih belum diliputi. Kini, saya akan berikan taklimat perkembangan terkini operasi.
    
Perkembangan operasi
     
Usaha mencari di barat daya Perth diteruskan, dan pihak berkuasa Australia mempergiatkan usaha mereka di kawasan itu. HMAS Success dijangka sampai ke kawasan objek itu esok.

China menghantar lima kapal dan tiga helikopter yang kini sedang menuju ke koridor selatan. Tiga pesawat China (dua Ilyushin IL-76s dan satu Shaanxi Y-8) tiba di Malaysia pada 11 pagi ini. Ia juga akan melakukan pencarian di koridor selatan.
    
Jepun menghantar asetnya ke Perth, termasuk dua pesawat P-3 Orion, untuk membantu Australia dalam usaha mencari.
    
Pagi ini saya bercakap dengan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom yang mengesahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah bercakap dengan Perdana Menteri UK (David Cameron), dan HMS Echo sudah dalam perjalanan menuju ke selatan Lautan Hindi untuk membantu usaha mencari. Beliau turut mengesahkan bahawa UK akan memberikan kita senarai aset yang mungkin boleh dikerahkan jika perlu.

Beliau turut mengesahkan bahawa, sebagai tambahan kepada bantuan teknikal diberikan setakat ini, ia juga bersedia memberikan bantuan pakar pencarian dan penyiasatan sebaik sahaja lebih banyak maklumat mengenai nasib MH370 diketahui.
    
Saya juga berhubung dengan delegasi Perancis, diketuai Duta Besar Perancis di Malaysia, dan termasuk individu yang mengetuai penyiasatan nahas Air France 447 terhempas. Mereka telah bersetuju untuk membantu kita berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka.
     
Saya juga akan menghubungi Setiausaha Pertahanan AS pada 21:15 malam ini, untuk memohon aset khusus lain untuk membantu usaha mencari dan menyelamat, termasuk kenderaan beroperasi menggunakan alat kawalan jauh bagi pencarian di laut dalam.
    
Pihak Kazakhstan telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka tidak menemui sebarang kesan MH370, dan kami sedang menunggu kebenaran bagi Kazakhstan digunakan sebagai pusat bagi operasi mencari.
    
Mengenai penyiasatan polis, polis Ukraine telah mengesahkan pemeriksaan latarbelakang terhadap penumpang warga Ukraine mendapati mereka 'bersih'.
       
Pemerosesan data satelit
    
Saya mahu bincangkan secara ringkas pemerosesan data Inmarsat. Pasukan penyiasat menerima data kasar satelit Inmarsat yang lengkap termasuk enam 'handshake' pada kira-kira 15:00 Rabu, 12 Mac.
    
Data jenis ini biasanya tidak digunakan dalam penyiasatan seperti ini. Oleh kerana kita hanya mempunyai begitu sedikit maklumat lain untuk digunakan dalam situasi sukar dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan data ini digunakan.
    
Sebaik menerima data kasar, pihak berkuasa Malaysia serta merta berbincang dengan pasukan AS mengenai bagaimana data ini boleh digunakan. Pasukan AS dan pasukan penyiasat kemudian menghantar data ini ke AS, kerana ia memerlukan pemerosesan lebih lanjut sebelum boleh digunakan.
    
Keputusan awal diterima pada Khamis 13 Mac pada kira-kira 13:30, tetapi telah dipersetujui oleh pasukan AS dan pasukan penyiasat bahawa ia perlu diperhalusi lagi, jadi data itu sekali lagi dihantar ke AS.
    
Keputusan diterima pada kira-kira 14:30 Jumaat 14 Mac, dan dibentangkan kepada pasukan penyiasat pada mesyuarat peringkat tinggi pada 21:00 Jumaat. UK AAIB, yang turut memproses data ini secara bebas, membentangkan keputusan mereka – yang selaras dengan keputusan kami dan pasukan AS – pada mesyuarat itu.
    
Perdana Menteri diberikan taklimat mengenai maklumat satelit ini pada  08:00 Sabtu, 15h Mac, dan mengumumkannya pada sidang akhbar pada waktu makan tengah hari Sabtu. Operasi mencari dan menyelamat dialih ke koridor utara dan koridor selatan.
    
Penjagaan keluarga
     
"Malam tadi di Kuala Lumpur kami mengadakan taklimat untuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Seperti saya nyatakan dalam kenyataan semalam, taklimat itu untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada anggota keluarga, dan untuk menjawab soalan dan menjelaskan sebarang kekeliruan.
    
Mesyuarat itu telah dihadiri anggota keluarga dari negara berlainan, termasuk Malaysia, dan wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur.
    
Delegasi peringkat tinggi Malaysia, termasuk wakil Malaysia Airlines, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara turut menghadiri mesyuarat.
    
Perbincangan berlangsung secara konstruktif dan berterus terang. Walaupun kami menjawaB hampir semua soalan dikemukakan, kami tidak dapat menjawab semuanya. Taklimat ini akan diteruskan – mengikut kesesuaian keluarga – selagi keluarga mahukannya.
    
Taklimat menjadikan anggota keluarga dan pihak berkuasa Malaysia lebih rapat, bukan sahaja dari segi berkongsi maklumat, tetapi juga dari segi mendengar suara hati anggota keluarga.

Duta Khas Perdana Menteri ke China akan menyelaraskan taklimat di Kuala Lumpur mulai sekarang.
    
Pasukan peringkat tinggi saya umumkan semalam tiba di Beijing malam tadi. Hari ini mereka bertemu dengan anggota keluarga selama tiga jam setengah.
        
Kenyataan penutup
    
Usaha mencari akan diteruskan melibatkan pelbagai negara dari seluruh dunia dan diselaraskan Malaysia. Kami terus menerima tawaran bantuan, termasuk aset khusus yang dapat membantu operasi mencari dan menyelamat. Kami mengalu-alukan semua bantuan tatkala kami meneliti semua petunjuk berwibawa. "
    

Khamis, 20 Mac 2014

MH370: RAAF gagal kesan serpihan di Lautan Hindi


  • Tony AbbottTony Abbott
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Cuaca buruk menyebabkan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berdepan masalah mengesan objek yang dicerap satelit di selatan Lautan Hindi, yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia yang hilang, demikian menurut Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
  
Dalam tweetnya, AMSA menyatakan kepulan awan dan hujan mengehadkan jarak penglihatan anak kapal pesawat P-3 Orion RAAF dalam usaha mencari objek itu yang dicerap oleh satelit kira-kira 2,500km dari barat daya bandar raya Perth di Australia.
  
Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata imej satelit itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13.
   
Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.
  
Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi  Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

Ahad, 16 Mac 2014

MH370 boleh sampai Kazakhstan atau selatan Lautan Hindi


 MH370 boleh sampai Kazakhstan atau selatan Lautan Hindi
 
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan sama ada benar pesawat MH370 dirampas seprti dilapor media antarabangsa.

Bercakap pada sidang media khas tengah hari tadi, Najib bagaimanapun berkta siasatan mengambil kira semua kemungkinan.

"Namun kita masih menyiasat semua kemungkinan mengenai apa yang menyebabkan MH370 melencong dari laluan penerbangan asalnya," kata Najib.

Najib turut mengesahkan bahawa pesawat tidak dikenali yang dikesan menukar arah dan terbang ke arah barat ialah pesawat MH370.

Pengesahan itu diperoleh berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan ke atas data yang sama.

"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8 Mac," katanya.

Dengan data itu juga kata Najib, pasukan penyiasat membuat pengiraan sejauh mana pesawat itu mampu terbang.

Menurut beliau, dengan data itu pesawat boleh berada di dua koridor iaitu koridor Utara dari utara Thailand sehingga Kazakhstan dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Beliau juga memaklumkan bahawa pencarian di Laut China Selatan dihentikan dan siasatan kini ditumpukan semula ke atas anak kapal dan penumpang.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing 8 Mac lalu.

Sabtu, 15 Mac 2014

Sah MH370 tersasar laluan asal


  • MH370
 1 / 1 
SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, sambil berkata ia telah menyimpang dari laluan penerbangan asal menuju ke Beijing dan hilang sejak Sabtu lepas.
  
"Hari ini berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh dari penyedia perkhidmatan data satelit, kita boleh sahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah Penerbangan MH370," katanya.
  
Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan sejawat antarabangsanya memutuskan bahawa kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit kemungkinan dalam satu daripada dua koridor.
  
Dua koridor yang berkemungkinan itu adalah satu koridor utara yang dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga utara Thailand atau koridor selatan yang dianggarkan menganjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.
  
"Pasukan siasatan sedang berusaha untuk memperhalusi maklumat itu," katanya.
  
Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya. - Bernama

Jumaat, 14 Mac 2014

'Bomoh bubu' mahu tampar, saman KJ


Seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain mengancam untuk menampar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana menggesa agar beliau ditangkap.

Ibrahim, yang mencetus kontroversi susulan upacara perbomohan yang dijalankannya di lapangan terbang KLIA bagi mengesan pesawat MH370, mengancam demikian kerana marah dengan kenyataan menteri tersebut di Twitter.

"Biar saya cakap terang-terang pada Khairy Jamaluddin hari ini. Saya cabar dia.

"Letak jawatan jadi menteri dan saya letak jawatan sebagai mahaguru. Kita berlawan.

"Saya tampar dia macam (semudah menampar) buaya nanti, baru dia tahu," katanya.

Katanya, beliau juga akan mengemukakan saman sebanyak RM100 juta sekiranya ketua Pemuda Umno itu mengulangi kenyataan tersebut.

Ancaman tersebut disiarkan melalui dalam satu rakaman video di satu blog dinamakan suara.tv.

"Saya bagitahu Khairy, kalau dia buat lagi saya nak saman dia RM100 juta. Menjatuhkan imej Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zain.

"Anak murid saya seramai beberapa juta orang akan sanggup ke depan ke mahkamah," katanya lagi.

Menteri itu pada 12 Mac lalu menulis, "bomoh permaidani sakti" itu perlu ditangkap kerana "memalukan" negara.

Ibrahim pada hari Isnin lalu mendapat perhatian meluas apabila muncul di balai berlepas KLIA dengan dua batang buluh dan satu bubu.

Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan batang buluh berkenaan sebagai satu teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.

Beliau muncul sekali lagi pada hari Rabu dan bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, dengan diperhatikan oleh orang ramai.

Dalam upacara tersebut, salah seorang pembantunya itu menggunakan sebatang tongkat untuk membuat gaya mendayung sampan dan seorang lagi menggunakan satu bakul untuk menunjukkan gaya mencedok air.

Individu terakhir dalam barisan tersebut memegang dan menggerakkan buah kelapa di kedua-dua belah tangan.

Dalam upacara itu mereka melaungkah takbir beberapa kali.

Khamis, 13 Mac 2014

Media antarabangsa lapor pengguna media sosial gelar Najib ‘tidak ada otak’


 Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin melakukan ritual untuk mencari pesawat MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Isnin. Pengguna media sosial menggelar Datuk Seri Najib Razak tidak ada otak kerana membenarkan perkara ini berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2014.

Sebuah laman sesawang antarabangsa International Busines Times (IBTimes) melaporkan pengguna media sosial menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak ada otak (“brainless”) apabila membenarkan bomoh untuk membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
IBTimes melaporkan seorang pengguna Weibo, sebuah laman sosial media China, berkata: "Buat pertama kali sebagai rakyat Malaysia, saya merasa malu, bukan kerana salah laku apa-apa tetapi kerana memiliki perdana menteri yang tidak ada otak.
"Berhentilah dari menjatuhkan air muka rakyat Malaysia," kata penulis itu sebagaimana dilaporkan oleh IBTimes.Respon ini selepas tindakan kerajaan membenarkan seorang yang menamakan dirinya sebagai Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin, melakukan ritual untuk mencari di mana pesawat MH370 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada hari pertama, Ibrahim dan pembantunya datang dengan sangkar dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu manakala hari kedua beliau datang dengan buah kelapa dan tikar terbang.
Ia dilakukan di tengah-tengah kesibukan KLIA dan mendapat kecaman pelbagai pihak.
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkannya sebagai "satu kerja gila" dan manakala ramai ulama menyifatkannya sebagai tindakan khurafat.
Pengguna media sosial juga mempermainkan tindakan bomoh itu dengan menyamakannya dengan “tikar terbang” yang dilakunkan oleh seniman agung Tan Sri P. Ramlee.