Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan

Khamis, 22 Oktober 2009

Tian Chua didapati bersalah tuduhan gigit

Ahli parlimen Batu yang juga pengarah strategi PKR, Tian Chua hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya menjalankan tugas.

Tian, 46, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Majistret Mohd Faizi Che Abu akan menjatuhkan hukuman selepas mendengar rayuan dari peguam.

On 18 Mei, Mohd Faizi mengarahkan Tian membela diri selepas majistret itu memutuskan bahawa pihak pendakwa mempunyai kes terhadap ahli parlimen Batu itu.

Tian didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya hukuman penjara melebihi setahun atau jika denda yang dikenakan melebihi RM2,000 maka Tian hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu jika selepas semua rayuannya gagal.

Tian ditahan sewaktu Bersih mengadakan protes membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun. Malaysiakini/-

Jumaat, 16 Oktober 2009

Nik Aziz minta martabatkan bahasa Melayu


KOTA BHARU 15 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengkaji semula penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris di tempat-tempat awam di kawasan mereka.

Beliau berkata, tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu boleh menyebabkan martabatnya direndahkan dan diperlekehkan, sekali gus menjejaskan usaha menyemarak dan memperkasakan bahasa itu.

Pada masa yang sama beliau turut mengakui tidak menyedari kecenderungan meluas terhadap penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di premis-premis perniagaan di negeri ini.

Ini termasuk bagi beberapa bangunan di bandar ini yang menjadi mercu tanda baru seperti Kota Bharu Trade Centre dan tulisan jawi pula sekadar digunakan bagi mengeja perkataan Inggeris itu.

''Memang betul teguran itu (menggunakan bahasa asing), ia mungkin disebabkan pemilik mahu ia menjadi popular dan mengantarabangsakan bangunan mereka supaya dikenali oleh orang luar.

''Saya pun tidak sedar sebab suasana menyebabkan saya sebagai pemimpin turut hanyut dalam bahasa Inggeris, saya rasa amat dukacita, saya minta kaji semula nama-nama ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat Wilayah Timur 2009 di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Mohamad Yussop Ishak.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, penggunaan bahasa pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahu pun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan seolah-olah berada di Hong Kong, Miami atau Hawaii.

''Saya secara peribadi akan memastikan bahasa Melayu akan menjadi bahasa pentadbiran dan urusan rasmi yang utama dalam sistem pentabdiran di negeri ini.

''Justeru, saya meminta semua PBT supaya melihat kembali dan memantau setiap papan tanda yang ada di kawasan masing-masing," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia bersama-sama DBP untuk memberikan suntikan baru dalam gerakan memperkukuhkan bahasa kebangsaan bagi menggambarkan citra negeri dan budaya bangsa.

Selasa, 29 September 2009

Lagi kisah lembu di selangor


Kira-kira 100 penternak lembu di Selangor berhimpun secara aman sambil membawa 40 ekor lembu dan kambing di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, semalam.

Mereka bertindak sedemikian bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri yang didakwa tidak mengendahkan rintihan dua penternak yang mengalami kerugian akibat kejadian empangan pecah di kawasan Lembah Sungai Tua Ulu Yam, Selayang, 24 September lalu.