Isnin, 5 Oktober 2009

Azeez dimasukkan ke wad HKL


KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi setelah mengalami kesan sampingan akibat ditumbuk oleh penyokong Pas di Port Dickson, semalam.

Beliau dimasukkan ke Wad Ortopedik apabila mengalami rasa tidak selesa dan mual ketika berada di kediamannya di Subang Jaya.

Sebelum itu, beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Kemang, Port Dickson.

“Doktor di Teluk Kemang membenarkan saya pulang berehat setelah diberi suntikan serta menjalani ujian X-ray di hospital itu tetapi sejurus selepas Maghrib di rumah, saya mula rasa tidak selesa,” katanya ketika ditemui di wad berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berasa seperti hendak pengsan serta mual dan terus ke HKL untuk pemeriksaan lanjut atas nasihat seorang rakannya.

Dalam kejadian semalam, Abdul Azeez mengalami lebam di leher dan mukanya selepas ditumbuk oleh penyokong Pas selepas cuba melindungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kawasan pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang .

Ismail Sabri turut melawat Abdul Azeez di HKL hari ini untuk mengetahui keadaannya.

“Saya berasa bertanggungjawab kerana berada bersama beliau semasa kejadian dan mengharapkan agar pemimpin parti pembangkang dapat mendisiplinkan pengikut-pengikut mereka supaya tidak bertindak liar,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, kejadian seperti itu akan terus berlaku sekiranya penyokong parti pembangkang mengamalkan sikap tidak berhemah seperti itu.


Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Salahuddin Ayob mendakwa ketua Putera Umno hanya mereka-reka cerita yang dia dipukul oleh penyokong pembangkang sewaktu penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Beliau mengulas dakwaan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dia telah dipukul oleh penyokong PAS.

Salahudin berkata, Azeez telah datang menemuinya dan memberitahunya yang dia telah dipukul oleh sembilan pemuda PAS.

Katanya, sekiranya benar Azeez dipukul oleh sembilan orang, sekurang-sekurang tentu ada tanda bengkak atau cedera.

Bagaimanapun, menurut Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Krian, dia tidak nampak apa-apa kesan pada Azeez.

Malah, katanya, baju Azeez juga bersih dan tiada tanda kotor sebagai bukti berlaku pergelutan antaranya dengan mereka yang menyerangnya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Salahuddin menyifatkan dakwaan Azeez itu sebagai satu pembohongan untuk mengelirukan rakyat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan