Sabtu, 26 September 2009

Subramaniam bakal sertai Makkal Sakhti?

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam masih mencari platform yang sesuai bagi meneruskan karier politiknya. Beliau turut tidak menafikan ketika diajukan soalan sama ada akan menyertai parti politik baru khusus untuk kaum India.

Menurutnya, beliau kini memikirkan segala pilihan yang ada termasuk menyertai parti politik baru atau terus bekerjasama dengan MIC bagi menjaga kepentingan masyarakat India di negara ini.

“Saya masih memerlukan sedikit masa untuk berfikir mengenai hala tuju karier politik saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Subramaniam yang dikenali sebagai ‘makkal talaiver’ atau ketua masyarakat di kalangan kaum India tewas dalam merebut jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti 12 September lalu.

Ekoran kegagalan itu, beliau dikatakan akan menyertai parti politik baru iaitu Makkal Sakthi untuk meneruskan kariernya dalam menjaga kesejahteraan kaum itu negara ini.

Parti Makkal Sakthi yang diketuai oleh R.S. Thanenthiran dikatakan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober ini.

Tambah Subramaniam lagi, beliau akan mengumumkan apa jua keputusannya tidak lama lagi.

“Saya kena fikir panjang,” jelas beliau.

Dalam pada itu, seorang pegawai di pejabat Perdana Menteri hari ini mengesahkan Najib dijadual merasmikan parti Makkal Sakthi pada 10 Oktober depan.

Ia bagaimanapun masih belum dapat dipastikan dan tertakluk kepada perubahan pada saat-saat akhir.utusanmalaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan