Ahad, 9 Mac 2014

Bapa mohon maaf pada Anwar, dakwa Saiful dipergunakan


Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.

NONE
"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini," kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar hari ini.


"Dengan ini saya  memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya

Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.


Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.

Dalam kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan disediakan pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan seorang peguam, Zamri Idrus.


azlan
"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."

Zamri telah menafikan dakwaan tersebut dan Malaysiakini tidak menyiarkan identiti pegawai khas di JPM itu sementara menunggu respons daripadanya.

Menurut Azlan, beliau mengetahui mengenai hal anaknya terlibat dan dituduh cuma melalui akhbar milik kerajaan kerana anaknya tidak langsung pernah menceritakan tentang kejadian dan pertuduhan tersebut kepadanya.


"Saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan dari saya sebagai bapa dari awal hingga tamat perbicaraan," dakwanya.

walaupun beliau sentiasa dilihat berdamping dan bersama dengan anaknya, Azlan menjelaskan bahawa beliau melakukannya semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anaknya. 

NONE
"Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar."

Azlan berkata, beliau memutuskan untuk membuat pendedahan ini kerana setelah sekian lama mengumpul maklumat sama ada semasa dalam perbicaraan, mahupun yang dikirim kepadanya oleh orang ramai, "saya dapati kebenaran mula terserlah dan jelas kelihatan."


Pihak pemerintah, katanya, langsung tidak pernah menemuinya  untuk berbincang kes itu atau bertanya pendapatnya.


"Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh (pegawai berkenaan)," dakwa Azlan. 
"Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat ini. Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat ini. Saya mahu rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka.

NONE
"Jika niat jahat ini berterusan, bukan sahaja umat Melayu dan Islam hancur tetapi negara musnah. Saya tidak sanggup melihat ini terjadi.


"Saya mengambil keputusan untuk bersama Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia yang dahagakan kemakmuran dan keamanan bercakap benar dan menentang kejahatan ini," katanya.
Azlan merayu kepada seluruh rakyat negara ini "bangun bersatu menentang kezaliman ini dan bekerja keras agar kebenaran akan muncul".


"Marilah kita juga doakan agar Allah menangkan perjuangan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih
pemerintahan negara dalam Pilihan Raya ke-13 nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan