Isnin, 17 Mac 2014

1 maut, 2 parah bas ekspres jatuh gaung


GOPENG - Seorang pemandu bas maut manakala dua penumpang parah apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung sedalam hampir 10 meter di Kilometer 301.5 Lebuhraya Utara-Selatan laluan ke utara, berhampiran Gua Tempurung di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Hasmir Arshad, 43, dari Bercham, Ipoh, maut di tempat kejadian.
Dua penumpang, Mong Ming Chai, 48, dan Farahzela Zainal Abidin, 27, masing-masing dari Salak Utara, Kuala Kangsar dan Kampung Jalong, Sungai Siput parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kampar Supritendan Ng Kong Soon berkata kemalangan pada pukul 4.25 petang itu dipercayai berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu cuba mengelak sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang terbabas di hadapannya.

Ini mengakibatkan bas membawa dua penumpang terbabit hilang kawalan dan merempuh penghadang tepi lebuh raya itu sebelum terjunam ke dalam gaung yang terletak kira-kira lima kilometer dari plaza tol Gopeng, katanya di sini.

Ng berkata ketika kejadian, bas itu melalui jalan lurus manakala cuaca pula baik.Sementara itu, rakan Hasmir, Rosli Shaari, 43, berkata mangsa berpengalaman memandu bas selama lebih 10 tahun dan tidak pernah melaporkan sebarang masalah yang dihadapinya berhubung bas tersebut.

Rosli yang bekerja sebagai pemandu bas di syarikat yang sama, berkata pemandu mempunyai jadual khusus bagi kekerapan perjalanan bas setiap hari dengan satu atau dua kali perjalanan sahaja.

"Bas sentiasa diselenggara dari semasa ke semasa di kawasan bengkel di Simpang Pulai. Saya mengenali Hasmir lebih enam tahun dan dia mempunyai seorang isteri dan tiga anak yang kini tinggal di Medan, Indonesia," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan