Khamis, 6 Mac 2014

Biarkan Orang Gaji Mati Kebuluran, Suami Isteri Digantung Sampai Mati!



SHAH ALAM – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia mereka, Isti Komariah.

Hakim, Datuk Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Fong Kong Meng, 58, bekas perunding pendawaian dan isterinya Teoh Ching Yen,56, suri rumah, didakwa bersama-sama membunuh Isti Komariah, 26, di rumah No 90,Jalan SS 2/6, Sea Park, Petaling Jaya dekat sini, di antara 14 Mei 2010 hingga 5 Jun 2011.

Pasangan suami isteri yang mempunyai anak kembar berumur 17 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata, di akhir kes pendakwaan sebelum ini, pendakwaan berhujah bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan tindakan kedua-dua tertuduh yang tidak membekalkan makanan mencukupi serta tidak memberi rawatan perubatan kepada mangsa.

Beliau berkata, mangsa semasa mula bekerja mempunyai berat badan 46 kilogram tetapi ketika meninggal dunia hanya mempunyai berat badan 26 kilogram.

“Pembelaan gagal menyangkal hujahan pihak pendakwaan berhubung sebab kematian serta fizikal mangsa dan mahkamah dapati pembelaan kedua-dua tertuduh hanya penafian semata-mata.

“Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukumangantung sampai mati,” katanya.

Fong dan Teoh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Julai 2012, pendakwaan memanggil 16 saksi sementara pembelaan mengemukakan enam saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, Suzana Abdul Latif dan Muhammad Asyraf Md. Kamal mewakili pendakwaan sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zaleha Al-Hayat dan Thong Seng Kong.

Akhbar sebelum ini melaporkan pembantu rumah yang berasal dari Jawa Timur itu dibawa oleh majikannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada 6 Jun 2011 tetapi disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital itu.

Mangsa bekerja dengan pasangan suami isteri itu sejak Disember 2008. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan