KAJANG, 9 MAC: Kerajaan pusat ‘disyorkan’ supaya mengangkat peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai hakim bagi memudahkan kerja mengenakan hukuman ke atas pemimpin pembangkang.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Shafee yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya bagi pihak kerajaan dalam kesnya didakwa mempunyai motif politik.
“Saya tanya, kenapa tidak terus angkat dia (Shafee) jadi hakim lagi senang. Dia Umno punya peguam, jadi biar dia dakwa, siasat, maka lebih baik jadi hakim.
“Dia zalim pada orang. Karpal Singh lawan minta laporan perubatan, satu jam pun tak boleh dapat, minta sehari suruh doktor beri keterangan juga tak boleh,” katanya di sini, semalam.
Beliau turut mendakwa wujud campur tangan daripada pihak luar untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya yang dibuat secara tergesa-gesa.
Katanya, kes yang sepatutnya dibicarakan pada 7 April ini dipercepatkan atas alasan hakim mempunyai ‘kes lain’ untuk diselesaikan pada tarikh itu.
“Sebab hakim mesti putuskan hari ini kerana takut terlepas 11 Mac ini (penamaan calon),” katanya.
-NFN-